Jangan cepat meragui prestasi pelumba
KUALA LUMPUR - Peminat sukan berbasikal tempatan diminta tidak meragui kemampuan pelumba trek kebangsaan ekoran prestasi hambar yang dipamerkan pada Kejohanan Berbasikal Piala Dunia Klasik siri pertama, di Manchester, England yang berlangsung sejak Jumaat lepas.
Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata, ia mungkin berpunca daripada prestasi mereka yang belum mencapai tahap kemuncak seperti yang diharapkan bagi menghadapi kejohanan yang akan berakhir hari ini.
"Ia merupakan satu pengajaran yang baik kerana di masa hadapan pelumba-pelumba kebangsaan tidak boleh mengambil ringan dan sentiasa perlu memberikan aksi terbaik mereka," katanya.
Naim berkata demikian sebagai mengulas persembahan hambar pelumba kebangsaan yang gagal menempatkan diri di dalam kelompok terbaik dunia dalam beberapa acara pada kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu.
"Namun saya harapkan mereka akan dapat mencapai tahap kemuncak prestasi apabila bersaing di Melbourne, Australia pada 19-21 November ini untuk siri kedua Piala Dunia Klasik.
"Ini kerana kejohanan ini (Piala Dunia Klasik) penting bagi membolehkan kita dapat mengutip mata untuk layak ke Sukan Olimpik 2012 dengan senang sekali gus mencapai sasaran membawa balik emas pertama Olimpik untuk Malaysia," katanya.
Naim juga berharap pelumba negara mampu memberikan persembahan yang terbaik bagi menghadapi Sukan Asia dan Komanwel tahun depan.
Pada aksi awal pagi kelmarin, jaguh berbasikal kebangsaan Mohd. Azizulhasni Awang gagal mara ke pusingan kalah mati acara pecut 200 meter, setelah terkandas awal di dalam acara keirin.
Beberapa pelumba lain turut gagal di peringkat awal seperti Mohd. Edrus Yunus (pecut), Mohd. Hariff Salleh (pecut), Mohd. Hafiz Suffian (satu kilometer ujian masa, keirin), Fatehah Mustapa (500m ujian masa, pecut), Amir Mustafa Rusli (perlumbaan mata, madison) dan Adiq Husainie Othman (madison).
Malaysia kini mempunyai baki tiga acara di kejohanan itu menerusi acara pecut berpasukan (Edrus, Hafiz dan Hariff), keirin wanita (Fatehah) dan scratch menerusi Adiq Husainie. - Bernama