‘Tak perlu risau’
Oleh Aida Adilah Mataida@hmetro.com.my
TIADA apa yang perlu dibimbangkan terhadap perkembangan skuad basikal negara terutamanya Azizulhasni Awang selepas tamatnya siri Piala Dunia Klasik yang berlangsung di Manchester, Ahad lalu.
Timbalan Presiden, Persekutuan Kebangsaan Basikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad tetap yakin Azizul mampu menjadi antara atlit yang bakal membawa pulang pingat emas daripada Sukan Olimpik 2012 nanti.
“Saya amat mengenali Azizul. Dia seorang atlityang cukup berdisiplin dan mempunyai kekuatan mental yang kuat mungkin kerana deman, mengakibatkan dia gagal untuk menyerlah di Manchester.
“Bagaimanapun sekurang-kurangnya Azizul berjaya bangkit kembali ketika turun dalam acara Keirin Jemputan antarabangsa biarpun sekadar menduduki tempat ketiga,” katanya.
|
|
“Tidak berjaya di Manchester bukan satu masalah besar. Tapi apa yang penting pelumba dapat mengekalkan momentum kerana masih ada lagi tiga siri Piala Dunia selepas ini.
“Pelumba harus lebih fokus selepas ini kerana banyak yang mereka perlu dilakukan dalam persiapan menghadapi Sukan Komanwel dan Asia,” katanya.
Biarpun terbit sedikit rasa bimbang pada hari pertama kejohanan siri Piala Dunia itu berlangsung terdapat beberapa atlit yang mempamerkan peningkatan terutama pada hari terakhir kejohanan.
Katanya, memang persatuan tidak mengharapkan pelumba wanita tunggal negara, Fatehah Mustapa dan kehadiran Adiq Husainie ke dalam skuad senior untuk berjaya menjejak podium, namun peningkatan daripada segi catatan masa pasti sekurang-kurangnya mencapai sasaran awal.