Anak Malaysia

Sunday, June 8, 2014

Melaka dipilih menjadi tuan rumah Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) ke18

MELAKA 5 Jun - Melaka dipilih menjadi tuan rumah Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) ke18 yang bakal berlangsung pada 13 hingga 20 Jun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, Sopma kali ini bakal melibatkan kirakira 1,000 atlet kurang upaya pendengaran termasuk pegawai dari seluruh negara.
Menurutnya, penganjuran Sopma kali ini juga membabitkan atlet dari dua negara jiran iaitu Singapura dan Brunei untuk bersaing dalam tujuh acara sukan yang dipertandingkan.
‘’Tujuh acara berkenaan termasuklah bola sepak, futsal, badminton, boling tenpin, boling padang, olahraga dan bola jaring.
"Kesemuanya akan diadakan di beberapa venue sekitar bandar raya Melaka, Ayer Keroh dan Krubong," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Sopma ke18 di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Ke­roh, di sini hari ini.
Yang hadir sama Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Kamarzaman Harun dan Ketua Kontinjen Melaka, Amir Hamzah Aziz.
Jelas Idris, acara sukan berkenaan bertujuan mencari bakat serta memberi peluang kepada atlet pekak yang berbakat untuk mewakili negara ke Sukan Orang Pekak Asia Pasifik (APDG) dan Sukan Olimpik Orang Pekak (Deaflympic).
Ujarnya, acara anjuran MSDeaf dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini telah beberapa kali berjaya menghantar kontinjen dalam keduadua sukan antarabangsa berkenaan sejak 1994.
"Oleh yang demikian, saya berharap atlet yang beraksi di Sopma akan berusaha sedaya upaya mencapai kejayaan cemerlang bagi membuktikan masalah pendengaran bukan suatu halangan untuk berjaya seterusnya mampu mengharumkan nama negara di peringkat lebih tinggi," katanya.
Sementara itu tambahnya, Sopma kali ini bakal menampilkan cara pengadilan dan teknikal berbeza dengan sukan biasa dan paralimpik iaitu dengan menggunakan tiupan wisel bagi permulaan, kesalahan dan tamat perlawanan serta ditambah penggunaan alat isyarat visual.
"Penggunaan sistem berkenaan sudah lama digunakan di peringkat antarabangsa bagi memberi keputusan adil kepada atlet pekak yang bergantung sepenuhnya kepada deria penglihatan," tambahnya.
Majlis perasmian Sopma ke18 akan diadakan pada 16 Jun ini di Stadium Hang Tuah di sini manakala majlis penutup diadakan pada 20 Jun di lokasi sama.


Artikel Penuh: http://202.190.126.82/utusan/Selatan/20140606/ws_01/Melaka-tuan-rumah-Sopma-Ke18#ixzz340N5kES0
© Utusan Melayu (M) Bhd