Anak Malaysia

Friday, November 18, 2011

Boling mula pungut Pingat EMAS

Boling mampu raih lebih tiga emas - Naim

KUALA LUMPUR - Cabaran sengit yang bakal diberikan oleh negara serantau yang lain tidak melemahkan semangat skud boling negara untuk mengutip lebih daripada tiga pingat emas pada Sukan SEA Indonesia bulan depan.

Menurut ketua kontinjen negara, Datuk Naim Mohamad secara kasar pasukan boling negara mensasarkan tiga pingat emas, namun melihat daripada prestasi semasa dan terdahulu, mereka dijangka meraih lebih daripada sasaran itu.

"Kita akan menyertai 10 acara bagi temasya kali ini iaitu lima lelaki dan wanita yang dipecahkan kepada perseorangan, beregu, trio, berpasukan dan master. Kekuatan kita adalah acara beregu dan berpasukan tetapi kita menjangka dapat melakukan lebih baik dari itu," katanya selepas melawat kem latihan skuad boling, semalam.

Jelasnya, jika pada hari pertandingan pasukan boling negara mampu mempamerkan prestasi terbaik tidak mustahil bilangan pingat emas berjaya ditambah terutama dalam acara perseorangan dan masters.

"Berdasarkan pencapaian lalu kita berjaya mempamerkan prestasi cemerlang termasuk meraih tujuh emas di Sukan SEA 2001 Kuala Lumpur dan di Korat pada 2007 kita berjaya membawa pulang empat pingat emas dalam acara ini.

"Bagaimanapun kita perlu sedar ketika itu negara lain masih baru sahaja serius dalam sukan ini, sekarang ini mereka cuba mengejar dan memberi saingan kepada kita. Beraksi di Indonesia bukan mudah negara lain tentu memberi saingan sengit jika wanita saingan Singapura perlu diberi perhatian, manakala lelaki pula datang dari Thailand dan Filipina," katanya.

Sementara itu, jurulatih Holloway Cheah menjangkakan permukaan gelanggang Boling Jaya Ancol agak licin, jadi dia menggunakan pendekatan beraksi di atas permukaan seperti itu untuk membiasakan pemainnya pada pertandingan sebenar nanti.

"Kita juga akan tiba seminggu lebih awal untuk berlatih di sana, walaupun kita berlatih menggunakan permukaan licin tetapi suasananya tidak sama seperti beraksi di sana. Saya juga masih belum memutuskan siapa yang akan tersingkir dari senarai tujuh pemain wanita kerana enam sahaja pemain yang akan dibawa," katanya.

Enam pemain lelaki yang akan beraksi di temasya dwitahunan itu ialah, Aaron Kong, Alex Liew, Adrian Ang, Muhamad Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Muhammad Nur Aiman Muhammad Khairuddin dan Zulmazran Zulkifli.

Pemain wanita yang sah akan beraksi ialah juara dunia, Jacqueline Jenelee Sijore manakala enam lagi pemain bakal bersaing sesama sendiri di dalam latihan sebelum pemilihan akhir dibuat hujung bulan ini, mereka ialah Esther Cheah, Sharon Koh, Zandra Aziela Ibrahim Hakimi, Zatil Iman Abdul Ghani, Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamallidon dan Sin Li Jane.