SUKAN
Lumba basikal miliki potensi besar
KETIKA peminat sukan tanah air sering memberi tumpuan kepada sukan popular seperti bola sepak, hoki dan badminton, sebenarnya mereka terlupa bahawa lumba basikal juga tidak kurang hebatnya.
Tidak dinafikan lagi lumba basikal adalah sukan yang paling menunjukkan peningkatan positif sejak beberapa tahun ini.
Pelbagai kejayaan telah diraih pelumba negara dalam banyak kejohanan yang disertai tidak kira dari dalam mahupun luar negara dan semuanya adalah hasil daripada keterapian program yang dirancang oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
Mungkin ramai yang sangsi dengan hakikat ini, namun jika dilihat kepada sejarah sukan negara, lumba basikal adalah antara sukan yang banyak memberi peluang anak tempatan kita beraksi di temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik.
Berdasarkan rekod, bekas jaguh trek negara, Rosman Alwi pernah beraksi pada temasya Sukan Olimpik di Los Angeles pada tahun 1984 dan Seoul 1988.
M. Kumaresan turut beraksi pada temasya Seoul 1988 bersama Rosman. Dia juga membawa cabaran Malaysia pada temasya Barcelona 1992.
Sebelum itu, Andrew Michael, Choy Mow Thin, Supaat Hamid, Salam Kamsari, Ng Joo Pong, Zain Safaruddin, Stephen Lim Tian San dan Tuow Choon Boon pula menggalas nama negara buat kali pertama pada temasya 1964 di Tokyo.
Walaupun lumba basikal masih belum mampu menyumbang pingat di pentas Olimpik, namun hakikatnya, sukan ini sudah mula menunjukkan sedikit harapan untuk mengharumkan nama negara suatu masa nanti.
Lupakan seketika bola sepak, hoki, gimrama atau badminton yang diserang prestasi tidak menentu dan cuba kita alihkan tumpuan kepada sukan dua roda ini.
Tahun lepas saja dua pelumba negara, Mohd. Azizulhasni Awang dan Anuar Manan masing-masing mencipta kejutan dalam kejohanan yang disertai iaitu Piala Dunia di Melbourne dan Beijing serta Kejohanan Le Tour de Langkawi (LTdL).
Malah ramai lagi pelumba generasi muda seperti Ahmad Haidar Anwar, Mohd Rizal Tisin, Fatehah Mustapa, Ahmad Fauzan Ahmad Lutfi mula menyinar di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman seperti John Beasley, Jamaluddin Omar dan Ng Joo Ngan.
Jadi apakah sebenarnya ramuan PKBM yang diterajui Abu Samah Abd. Wahab dan Datuk Naim Mohamad dalam melahirkan ramai bakat-bakat baru yang sudah mula menyinar dalam sukan lumba basikal di persada antarabangsa ini?
"Sebenarnya kejayaan kita melahirkan ramai pelumba-pelumba muda yang berbakat seperti Azizulhasni, Anuar Manan, Rizal Tisin dan ramai lagi adalah hasil dari program pembangunan dari peringkat akar umbi seperti Sport Excel, Sukan Malaysia (Sukma) dan banyak lagi," kata Naim baru-baru ini.
"Tapi yang lebih memainkan peranan utama kejayaan pelumba kita sejak kebelakangan ini ialah perancangan dan persediaan program latihan yang tersusun dan juga penyertaan dalam pelbagai kejohanan di luar negara sejak beberapa tahun yang lepas.
"PKBM telah lama beranggapan jika kita mahu mengembangkan lagi kemampuan pelumba-pelumba negara, selain latihan yang betul, mereka juga perlu merasai sendiri suasana di dalam pertandingan ketika bersaing dengan pelumba-pelumba profesional negara lain.
"Inilah sebenarnya yang banyak membantu pelumba kita meningkatkan lagi kemampuan mereka ke tahap yang maksimum. Jika kita hanya mampu melahirkan bakat-bakat baru saja, tapi tiada kesinambungan dalam program latihan dan pendedahan, saya rasa kita tidak akan menikmati pencapaian yang baik seperti ini," kata Naim lagi.
Bagi bekas pelumba kebangsaan, Rosman Alwi pula, dia bersetuju bahawa peningkatan yang dipamerkan oleh pelumba negara ketika ini adalah hasil daripada pendedahan dan pengalaman menyertai banyak kejohanan di luar negara.
"Dalam mana-mana sukan pun pengalaman dan pendedahan adalah perkara penting dalam menentukan kejayaan seseorang atlet itu," kata Rosman.
"Semakin banyak atlet itu didedahkan dengan saingan dan suasana dalam pertandingan yang kompetetif, maka semakin banyak ilmu dan pengetahuan yang akan dikutipnya.
"Oleh itu jika atlet itu didedahkan dalam kejohanan lebih awal iaitu di peringkat usia muda, tidak mustahil dia akan muncul sebagai prospek terbaik untuk muncul juara.
"Ketika zaman saya dahulu, tidak banyak kejohanan kompetetif yang kita mampu sertai kecuali Sukan SEA, Sukan Asia, Komanwel dan sebagainya. Dengan kata lain tidak banyak kejohanan terbuka luar negara yang kita mampu hantar pelumba menagih pengalaman.
"Tapi sekarang, dengan usaha dari Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan PKBM sendiri, saya rasa tidak mustahil pelumba negara akan menjadi antara pencabar baru kepada pasukan-pasukan dari benua lain," ujar Rosman lagi.
Begitupun, kesemua kejutan dan kejayaan ini banyak dilakar menerusi acara trek dan pecut, namun bagaimana pula dengan pencapaian negara dalam acara lebuh raya?
Menurut Naim yang mengetuai penganjuran Kejohanan Le Tour de Langkawi 2009 bermula pada 9 hingga 15 Februari ini, selepas perancangan dan program yang dibuat ke atas pelumba pecut dari acara trek mula membuahkan hasil, PKBM kini sudah merangka satu perancangan jangka panjang dengan kerjasama pihak MSN.
"Saya akui skuad lebuh raya kita masih lagi gagal menyerlah di pentas antarabangsa seperti skuad trek negara," kata Naim ketika majlis penajaan LTdL bersama Milo baru-baru ini.
"Kita sudah buktikan yang kita boleh menang pingat emas dalam acara trek, jadi saya yakin kita mampu melakukan perkara yang sama dalam acara lebuh raya, basikal bukit mahupun BMX.
"Oleh itu, bagi memastikan kita juga mampu melahirkan jaguh dalam acara-acara tersebut, skuad lebuh raya kebangsaan buat pertama kali akan diletakkan di bawah program MSN mulai tahun ini dengan sasaran utama layak ke Sukan Olimpik 2012 di London dan meraih pingat pada Sukan Olimpik 2016.
"Dengan bantuan khusus dari kerajaan, kita boleh berjaya. Kita juga sudah ada program pelapis yang mana mampu menyumbang ke dalam skuad elit.
"Malah, LTdL 2009 yang berlangsung Februari ini juga merupakan medan ujian pertama untuk kita mengenalpasti pelumba lebuh raya berbakat yang mampu merealisasikan impian layak ke Sukan Olimpik 2012 di London," katanya lagi.
Jelas sekali penganjuran kejohanan seperti LTdL dan Jelajah Malaysia juga memainkan peranan tersendiri dalam melahirkan pelumba-pelumba berkualiti ketika ini.
Malah, tidak disangkal lagi bahawa prestasi pelumba lebuh raya dan pecut juga banyak meningkat hasil dari saingan pelumba profesional dunia yang lain dan ini diakui sendiri oleh presiden PKBM, Abu Samah.
"LTdL memang memainkan peranan besar bukan sahaja sebagai sukan pelancongan tetapi juga dalam mengetengahkan bakat pelumba kita ke peringkat antarabangsa," kata Abu Samah baru-baru ini.
"Oleh itu saya berpendapat, LTdL perlu diteruskan supaya peluang akan lebih terbuka luas buat pelumba kita mengasah bakat dan menarik perhatian pasukan profesional luar negara.
"Dalam hal ini, LTdL ternyata berkesan. Pada saya tidak kira siapa yang menganjurkannya baik kerajaan mahupun swasta selepas ini, yang penting, ia perlu terus diadakan.
"Kita akan memperbaiki lagi program pembangunan untuk mengenal pasti lebih ramai pelumba berbakat. Sekarang ini, kita bukan sahaja ada skuad kebangsaan tetapi juga pasukan benua sendiri yang dibarisi pelumba-pelumba muda.
"Ada sesetengah penganjur perlumbaan, mereka tidak minat jemput pasukan kebangsaan. Di sinilah peranan pasukan benua akan digunakan untuk kita menyertai lebih banyak perlumbaan di luar negara. Penubuhan kelab persendirian seperti Le Tua juga turut menyumbang ke arah itu.
"Dalam menyusun semula pengurusan lumba basikal lebuh raya negara, PKBM akan terus memberi kepercayaan kepada jurulatih tempatan, Jamaluddin Omar yang akan melatih pelumba kita menerusi program yang diaturkan.
"Saya harap dengan gabungan kedua-dua jurulatih berpengalaman ini, pelumba lebuh raya kita akan mula menyinar suatu masa nanti," katanya lagi.