Anak Malaysia

Wednesday, December 31, 2008

PASUKAN PASUKAN UNTUK LTdL 2009

Le Tour de Langkawi 2009 yang menampilkan 20 pasukan, akan bermula di Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan Malaysia dan berakhir dengan acara tradisi Kriterium Dataran Merdeka di ibu kota Kuala Lumpur, pada 9 hingga 15 Februari.

“Pemilihan pasukan kali ini adalah yang paling sukar,” kata Ketua Pegawai Operasi, Datuk Naim Mohamad. “Kami menerima hampir 50 tawaran daripada pelbagai pasukan yang berbeza dari seluruh dunia. Ini bermakna, format perlumbaan 7 hari adalah amat bersesuaian dengan lebih banyak pasukan berbanding sebelum ini.”

“Dengan barisan pelumba yang mantap, kami menjangkakan ia akan menjadi perlumbaan lebih mencabar.” Seperti biasa, semua lima benua akan mempunyai wakil pelumba di Malaysia dalam perlumbaan jelajah terbesar Asia ini.

“Kerana menyedari pentingnya status kategori Hors dalam acara perlumbaan ini, kami sudah membuat pemilihan yang seimbang dengan keutamaan diberikan kepada pasukan yang kompetitif dari Eropah dan Amerika,” tambah Naim.

“Walaupun secara geografinya kita terletak agak jauh daripada pusat berbasikal di Eropah, kami akan melaksanakan polisi anti-doping yang ditetapkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang telah dipersetujui oleh semua pasukan professional dan penganjur perlumbaan. Kami menyokong usaha memperkenalkan pasport biologikal dibenua Asia.”

“Sehubungan dengan itu, kami sudah memilih sembilan (9) pasukan yang mematuhi program passport biologikal dan layak menyertai jelajah Grand Tours.” Antara sembilan pasukan ini, empat adalah pasukan dari sirkit Pro Tour: Garmin-Chipotle dari Amerika Syarikat, Ag2r dan Bouygues Telecom dari Perancis, serta Fuji-Servetto dari Sepanyol.”

Lima pasukan Profesional Benua adalah Diquigiovanni (Venezuela), CSF (Ireland), Vorarlberg-Corratec (Austria), ISD (Itali) dan pasukan berpangkalan di Switzerland, Cervélo Test Team yang membariskan juara Tour de France, Carlos Sastre.

“Kami mengalu-alukan kehadiran pasukan baru yang handal seperti Cervélo and ISD”, kata Naim lagi. “Dua tahun lalu, kami adalah penganjur pertama yang mengundang Slipstream menyertai acara berstatus Hors Categorie kerana kami berpendapat pasukan ini mempunyai masa depan yang cerah dan kami gembira mereka berminat untuk kembali dengan nama baru Garmin-Chipotle yang kini diakui sebagai salah satu pasukan paling kompetitif dunia bagi perlumbaan Tour de France dan perlumbaan klasik utama.”

Oceania dan Afrika juga akan mempunyai wakil dalam perlumbaan di Malaysia ini menerusi skuad kebangsaan Australia dan Afrika Selatan.



“Le Tour de Langkawi yang dianjurkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dengan sokongan penoh dari Kementerian Belia dan Sukan dan Kerajaan Malaysia, memberikan pengiktirafan kepada usaha yang dilakukan oleh sesetengah persekutuan berbasikal untuk membangunkan sukan berbasikal mereka,” kata Naim.

Pasukan kebangsaan dari Asia lain yang akan bertanding adalah Malaysia, China, Iran dan Kazakhstan manakala pasukan benua Asia akan melengkapkan senarai pasukan iaitu: MCF dan LeTua dari Malaysia, Meitan-GDR dari Jepun, Seoul Cycling dari Korea Selatan dan Doha Team dari Qatar yang akan membuat kemunculan sulung dalam Le Tour de Langkawi.

Dijangka senarai pelumba setiap pasukan akan diketahui menjelang pertengahan Januari.

Senarai 20 pasukan: Garmin-Chipotle, Ag2r, Bouygues Telecom, Fuji-Servetto, Diquigiovanni, CSF, Vorarlberg-Corratec, ISD, Cervélo, Australia, Afrika Selatan, Malaysia, China, Iran, Kazakhstan, MCF, LeTua, Meitan-GDR, Seoul Cyling, Doha Team.