Anak Malaysia

Sunday, February 9, 2020

Eyeing Hasan Mad's views about MARA

Bila dibaca rencana ini, permintaan pertama saya ialah jangan hendaknya para pembaca sekelian terus melenting dan jadi emosional. Renung sejenak apa yang saya tulis ini, cari dan baca semua dokumen berkaitan Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama 1965 (KEB 1 1965), baca hansard Parlimen berkaitan pembentangan Akta MARA 1966 ini, baca dan fahami setiap peruntukan dalam Akta MARA 1966 itu, baca buku terbitan UKM mengenai MARA (Perjalanan yang belum selesai) dan imbas kembali apa yang MARA dah laksanakan hingga kini. Lepas itu, lakarkan mengikut cara, pemikiran dan citarasa masing-masing untuk dibandingkan dengan apa yang sepatutnya MARA buat berdasarkan semua dokumen itu.

Jika ada diantara pembaca yang sependapat dengan saya, permintaan kedua saya ialah tolong bawakan cerita ini kepada para pemimpin Melayu untuk minta mereka berhenti main wayang agenda ekonomi dan keusahawanan orang Melayu. Sayugia saya nyatakan di sini, majoriti usahawan Melayu yang komited menjadi usahawan sudah berjauh hati dengan agenda ekonomi & keusahawanan yang kerajaan dulu dan sekarang hidangkan untuk mereka. Mohon khabarkan kepada para pemimpin ini, bertindaklah dengan berani, hebat, bijaksana, bermaruah, berintegriti, bertaqwa, berkat dan hentikanlah semua rethorik, bilamana berbicara mengenai ekonomi & keusahawanan orang Melayu.

Sengaja saya pilih tajuk yang kontroversi ini. Saya bertanggung-jawab keatas mesej yang saya sampaikan. Ya, jika MARA itu hebat, TERAJU memang tidak diperlukan.

Selepas para pembaca sekelian baca dan faham kandungan semua dokumen yang disarankan itu, cuba cari jika ada mana-mana institusi kerajaan yang akta penubuhannya menyatakan institusi itu adalah institusi untuk orang Melayu. Tiada, kecuali MARA. Mana ada akta penubuhan sesebuah institusi yang begitu omnibus skop fungsi, ruang lingkup dan tanggung-jawabnya, yang boleh buat apa saja untuk memanfaatkan orang Melayu, kecuali MARA.

Jika ada yang fikir begitu mudah para pemimpin terdahulu nak gubal sesuatu akta dan bentang di Parlimen untuk dengan mudah ianya diluluskan begitu saja, bacalah hansardParlimen yang membahaskan akta berkenaan. Dari situ barulah agaknya kita semua faham dan insaf akan sukarnya para pemimpin terdahulu hendak meninggalkan satu warisan untuk generasi kita dan generasi-generasi akan datang, iaitu sebuah agensi yang aktanya begitu kebal, MARA.

Andaikata para pemimpin dan pengurusan kanan MARA sejak 1966 hingga kini punyai wawasan, keberanian, kehebatan, passion, kebijaksanaan, kepakaran, integriti, maruah dan darah sepekat darah barisan kepimpinan dan penjawat awam Melayu yang merencanakan KEB1 1965 dan penggubalan Akta MARA 1966, mungkin agaknya kita tidak sebangsat sepertimana kini.

Arwah Ishak Tadin, yang berperanan sebagai Setiausaha KEB1 1965 itu sudah meninggalkan kita. Anak arwah ada bersama kita, beliau tahu banyak cerita dan menyimpan banyak dokumen mengenai KEB1 itu. Begitu juga arwah Datuk Mohamad Abd Rahman, wakil rakyat dari Melaka dan salah seorang AJK KEB1, pun dah tiada tapi anak arwah sangat aktif bersama kita. Anak arwah juga masih ingat banyak peristiwa mengenai KEB1 itu yang sering diceritakan kepadanya. Arwah Tan Sri Aziz Rahman baru meninggalkan kita. Beliau juga menyimpan terlalu banyak rahsia mengenai penubuhan MARA. Jika ada pun yang masih bersama kita dan masih segar dalam ingatan beliau mengenai MARA ialah Tan Sri Arshad Ayub, hinggakan namanya begitu sinonim dengan RIDA dan MARA. Tanyalah beliau perihal MARA.

Andaikata para pemimpin Melayu dulu dan sekarang tidak bermain wayang dengan kita semua para pemegang-taruh Melayu, tentunya mereka pilih dan amanahkan pemimpin dan pengurusan terbaik untuk menerajui MARA. Jika kepimpinan dan pengurusan MARA itu semuanya dikalangan Melayu yang berani, hebat, bermaruah, bijaksana, bertaqwa, berintegriti dan berkat, pastinya paling tidak salah satu anak syarikat milik MARA kini adalah dikalangan Fortune 500, sebab MARA boleh ceburi apa saja bisnes yang memanfaatkan orang Melayu, malah di mana saja dalam dunia ini.

Andaikata kepimpinan dan pengurusan MARA sehebat itu, entah-entah Perdana Menteri dan ramai ahli politik Melayu pun dikalangan anak didik kelahiran MARA.

Andaikata Perdana Menteri, sejak zaman arwah YM Tunku Rahman hingga hari ini, berania meletakkan MARA terus dibawah JPM (Perdana Menteri sebagai Menterinya) dan Pengerusi Eksekutifnya bertaraf Menteri Kanan, saya membayangkan:

● keseluruhan Khazanah Nasional Berhad itu selayaknya diletakkan terus dibawah MARA;

● PMB (dulunya ASM) itu setanding ASN, bezanya PMB kumpul dana amanah saham Islamik gunapakai model pelaburan menyongsangi model yang digunapakai oleh ASN;

● BBMB tidak dikuburkan tetapi menjadi bank dikuasai MARA;

● UiTM dan UniKL bertaraf universiti global, membangunkan program-program pendidikan & TVET bersama universiti-universiti tersohor di seluruh dunia;

● Ramai pelajar tajaan MARA menuntut di luar negara tidak perlu semuanya pulang ke tanahair, sebaliknya membentuk jaringan diaspora MARA untuk pelbagai tujuan ekonomi dan sebagainya,

● Kerajaan tak perlu tubuhkan semula UDA bagi tadbir-urus agenda perbandaran dan kepentingan Melayu di bandar, di seluruh Negara, tetapi memadai MARA tubuhkan Bahagian Pembangunan Bandar & Masyarakat Bandar manakala UDA Holdings dipindahkan dari MOF kepada MARA Corp, untuk laksanakan semua agenda bisnes pembangunan bandar kepentingan Melayu;

● Dan beberapa lagi impian saya mengenai MARA dan MaraCorp.

Andaikata semua impian saya itu menjadi realiti, siapa pun orang Melayu termasuk mereka yang ‘pekak-badak’, pun boleh menjadi usahawan, mengikut kemampuan masing-masing. Ini kerana MARA, sebagai agensi kerajaan kepentingan Melayu, yang sememangnya diamanahkan membina satu ekosistem lengkap dengan entrepreneurship safety-net, ada di sisi mereka untuk bimbing (secara hand-holding) mereka hingga berjaya. Ada lah dua tiga kerat usahawan Melayu yang ketagih bertongkat hingga ke tua, yang lainnya tidak. Mereka lagi suka untuk secepat mungkin menjadi usahawan yang merdeka. Mereka juga ada maruah, mereka juga berani, hebat, berintegriti, bijaksana, bertaqwa dan ingin bisnes mereka berkat, pastinya mereka malu untuk bertongkat lama.

Andaikata MARA Corp yang baru berusia 3 tahun itu juga sehebat MARA, diamanahkan untuk tadbir-urus semua bisnes kepentingan MARA, maka saya berani mengandaikan yang Perdana Menteri kita juga berani untuk tetapkan MNC & PLC terpilih bentuk usahasama dengan MARA, sebagai rakan strategiknya. Sebagai balasan, Kerajaan tawarkanlah kepada MNC atau PLC itu banyak insentif menerusi usahasama itu. Akan tetapi, dengan syarat, MARA Corp wajib berjanji dengan kerajaan dan orang Melayu untuk tidak ulangi dosa dan kesilapan beberapa Agensi Enterprais Awam (PEA), GLC dan GLIC yang kerapkali gagal laksanakan tiga teras DEB kepentingan pemegang-taruh Melayu, iaitu:

● Pengwujudan banyak peluang pekerjaan

● Terajui dan ujudkan banyak peluang bisnes, dan

● Pengwujudan peluang pemilikan ekuti (menerusi PMB terutamanya)

Andaikata semua itu terjadi sejak 55 tahun yang lalu, masih perlukah TERAJU ditubuhkan? Adakah TERAJU punyai Akta yang membolehkan ia berperanan sepertimana MARA? Dulupun MEB @ TERAJU yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, terkial-kial untuk menjuarai agenda ekonomi Bumiputera, inikan pula ia hanya sebuah agensi kecil dibawah MEA, dicelah-celah puluhan agensi lain. Mampukah ia menjadi pengubat luka kekecewaan komuniti usahawan Bumiputera?

Sejak sebelum TERAJU ditubuhkan lagi iaitu ketika Bahagian Pengagihan EPU menjadi Sekretariat kepada MTAB (MEB), ramai diantara kami telah menyuarakan kebimbangan bahawa penubuhan TERAJU akan hanya menjadi satu sandiwara dan modal pemimpin Melayu untuk menutup mulut usahawan Melayu dengan persoalan paling lazim kami dengar, iaitu ‘apa lagi yang Melayu mahu? Saya sendiri pun secara peribadi sudah letih cuba pertahankan TERAJU malah sering pula dicemuh.

Tidak ramai dikalangan kita yang benar-benar faham apa yang sebenarnya wajib dilakukan oleh TERAJU. Saya mohon jika Datuk Mohd Nor Nawi sudi bersuara dalam hal ini. Beliau adalah diantara pegawai kanan di EPU ketika itu yang amat arif mengenai penubuhan MTAB (MEB) dengan TERAJU sebagai Sekretariatnya.

Saya hargai apa yang kerajan baru-baru ini lakukan dengan melantik seorang mantan menteri kanan menerajui TERAJU. Kita semua kenal sangat dengan beliau dan amat arif mengenai kredibiliti & komitmen beliau.

Masaalah kami semua bukan dengan beliau dan kewujudan TERAJU, tetapi dengan tiga masaalah ini:

 Institutional reform wajib dilakukan bagi perkasakan MARA & MaraCorp, sesuai dengan peruntukan yang terkandung dalam Akta MARA. Dari segi perundangan MARA itu cukup kebal, justeru, dari segi pembangunan institusinya, Majlis MARA wajib faham tujuan dan hasrat pengagihan fungsi diantara MARA dengan MaraCorp, sama sepertimana di FELDA, semasa era kepimpinan YM Raja Tan Sri Alias, bagaimana kerajaan agihkan fungsi diantara FELDA dengan Felda Holdings Berhad. Kemelut yang kini berlegar mengenai MARA ialah berkaitan dengan perlunya MARA lakukan institutional reform, konsisten dengan peruntukan perundangan yang dimilikinya;

● Pertingkatkan agenda human governancedikalangan kepimpinan dan pengurusan MARA agar ianya diterajui oleh insan-insan rabbani yang terbaik dalam dunia ini. Kebimbangan kami sejak dulu lagi ialah acapkali dicelah-celah kepimpinan dan pengurusan MARA yang hebat itu terdapatlah pula ‘beberapa kerbau membawa lumpur’. Cerita ‘kerbau berlumpur’ ini bukan cerita baru dan kami dah mual dengan certia seperti ini;

● Perkukuhkan & himpunkan (consolidate) semua business outfits dibawah MARA Corp, dengan setiap satunya dimajukan gunapakai model bisnes yang cukup teruji akan kejayaannya. Teladani bagaimana China bangunkan begitu banyak Fortune 500dikalangan syarikat gergasinya dalam sekelip mata.

Akhir qalam, wishlist saya ialah mohon sudinya para pembaca sekelian menerima hujah yang saya kemukakan ini. Jika sependapat dengan saya, mohonlah lakukan sesuatu. Mohonlah minta Perdana Menteri sudi berlembut hati untuk sependapat dengan kita semua dalam isu ekonomi & keusahawanan Melayu ini.

Saya tiada niat menyinggung kawan-kawan kita di TERAJU. Maafkan saya jika niat saya dan takrifan dikalangan pembaca berbeza.

Saya juga tidak meminta dinyahkan kawan-kawan kita, baik di MARA atau MARA Corp. Andaikata mereka itu insaf dengan perjuangan datuk-datuk kita dulu yang bersusah-payah cuba sedaya-upaya untuk memperkasakan MARA, kita semua wajib berikan sokongan tanpa berbelah-bagi, kepada Perdana Menteri yang sudi sependapat dengan kita, serta kepimpinan dan pengurusan MARA dan MaraCorp yang komited memikul amanah dan tanggung-jawab untuk kita semua, para pemegang-taruh.


Dato Dr Hasan Mad
Setiausaha Agung MPM

8 Februari 2020

Eyeing Hasan Mad's take on the PBT elections proposal

Keghairahan DAP menguasai mana-mana institusi kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai begitu banyak kepentingan ekonomi, politik dan pemilikan tanah bukan lagi satu sandiwara.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad berkata, DAP semestinya akan mendesak agenda pilihan raya PBT dilaksanakan sementara mereka masih menguasai kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Seandainya kerajaan PH tumpas dan Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa, sekalipun ada MCA dalam barisan BN itu, DAP pun tahu dan tidak yakin yang MCA mampu meneruskan agenda mereka ini, kerana MCA tidak akan sehebat DAP.

“Beranilah saya berhujah tegas di sini bahawasanya, agenda pilihan raya PBT adalah agenda DAP,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pada 8 Disember tahun lalu, DAP mengulangi tuntutan untuk mengembalikan pilihan raya PBT dengan menjadikannya antara lapan resolusi yang diluluskan pada Konvensyen Tahunan Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019. 

DAP menuntut pilihan raya berkenaan dengan alasan mahu demokrasi diamalkan di peringkat akar umbi dan memastikan akauntabiliti PBT kepada rakyat. 

Bagaimanapun, ramai pihak yang mempersoalkan motif sebenar dan mempertikaikan usaha DAP yang mahu mewujudkan semula pilihan raya tersebut.

Mengulas lanjut, Hasan mendakwa, dari aspek perniagaan, PBT adalah `lubuk’ terutamanya kepada kontraktor dalam industri kecil dan sederhana (IKS). 

Manakala, dari aspek politik, PBT adalah tempat untuk kroni-kroni politik mencari wang saku politik, paling tidak elaun bulanan sebagai Ahli Majlis PBT, dakwanya.

Sementara dari aspek demografi pula, katanya lagi, majoriti penduduk bandar pada ketika ini adalah bukan Bumiputera, sekali gus ia ada kaitan dengan kepentingan penguasaan politik oleh DAP bersama sekutunya.

“Itu sebabnya saya kata DAP tidak bersandiwara dalam usahanya mendesak kerajaan mengadakan pilihan raya memilih Ahli Majlis PBT. 

“Jika diadakan pilihan raya itu, mereka amat yakin blok mereka akan menguasai majoriti dari kesemua PBT itu. 

“Bila mereka dapat menguasai kerusi Ahli Majlis PBT maka semua keputusan, baik yang ada kaitan dengan politik, ekonomi, pemilikan tanah, pembangunan dan penjualan hartanah, taburan demografi demi kepentingan dan kelangsungan penguasaan politik, malah kepentingan melindungi bisnes pasaran gelap, adalah di tangan mereka,” katanya. 

Sunday, February 2, 2020

The Visit Malaysia Fun Run 2020 by AGE


About 2,300 participants took part in the Visit Malaysia Year Run 2020. Congratulations to the Age Team for making it a great success.